Site icon TUHAU BAMBANGAN

Kerajaan dicadang wujudkan ekosistem TCG tersusun, lahirkan pemain antarabangsa – Abqaree

KOTA KINABALU: Presiden Majlis Belia Sabah (MBS), Abqaree Fawwaz Abekan, mencadangkan agar kerajaan negeri mewujudkan satu ekosistem permainan kad dagangan (Trading Card Game – TCG) yang lebih tersusun bagi melahirkan pemain dan penganjur tempatan bertaraf antarabangsa.

“Permainan TCG ini bukan sekadar hobi, tetapi merupakan platform yang membina kemahiran sosial, pemikiran strategik dan hubungan dua hala yang sihat khususnya dalam kalangan Generasi Z dan Alpha yang semakin kurang berinteraksi secara fizikal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan penutupan The TCG Event II di pusat beli-belah 1Borneo, yang mencatat penyertaan lebih 1,000 peserta dari pelbagai komuniti TCG seluruh Sabah, pada Ahad lalu.

Menurut Abqaree, program seperti ini perlu diberi sokongan penuh kerana ia membantu anak muda membina karakter dan mengelakkan mereka daripada terjerumus ke dalam aktiviti yang tidak berfaedah.

“Jika diberi ruang, bimbingan dan platform yang sesuai, saya percaya anak-anak muda kita mampu diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi,” ujarnya.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada pihak penganjur atas kejayaan penganjuran edisi kedua program ini yang menyaksikan peningkatan ketara dari segi penyertaan dan variasi permainan.

Pengerusi Penganjur, Chang Chee Ken berkata, sambutan kali ini jauh lebih baik berbanding tahun lalu dengan 12 jenis permainan kad dan enam kedai TCG yang mengambil bahagian, berbanding hanya lapan permainan dan lima kedai pada edisi sebelumnya.

Sementara itu, Ericson Lotidis, pemilik R916 Food & Hobbies di Megalong Mall Penampang, menyatakan program ini bukan sahaja memberi impak positif kepada jualan produk, malah berjaya menarik lebih ramai belia untuk menyertai komuniti TCG yang aktif dan sihat.

“Saya lihat TCG semakin mendapat tempat dalam kalangan remaja. Program seperti ini wajar diteruskan dan diperluas ke seluruh negeri,” katanya.

Antara permainan kad popular yang ditampilkan termasuk Magic: The Gathering, Cookies Run: Braverse, dan Lorcana.

Penganjuran The TCG Event II membuktikan bahawa TCG berpotensi besar menjadi alat pembangunan sosial dan mental anak muda, serta platform untuk mencungkil bakat ke peringkat yang lebih tinggi melalui ekosistem yang teratur dan disokong kerajaan.

Exit mobile version