TAWAU: Seorang lelaki berusia 45 tahun ditahan polis selepas bertindak mengugut mahu membunuh ibu kandung serta ahli keluarganya dalam kejadian di Kalabakan pada petang Ahad lalu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Champin Piuh berkata, suspek ditahan kira-kira jam 7 malam selepas pihak polis menerima maklumat awam mengenai tindakan agresif lelaki itu.
“Sebaik tiba di lokasi, polis mendapati suspek berada di luar rumah dalam keadaan agresif dan mengeluarkan ugutan terhadap ibu bapa serta ahli keluarganya,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, tangkapan dibuat oleh sepasukan anggota dari Balai Polis Kalabakan dan suspek kini ditahan di IPD Tawau bagi siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Superintendan Champin menegaskan bahawa polis memandang serius sebarang bentuk keganasan dalam keluarga dan menyeru orang ramai agar tidak berdiam diri sekiranya berlaku insiden seumpama itu.
“Laporkan segera kepada pihak berkuasa agar tindakan sewajarnya dapat diambil demi keselamatan semua pihak,” katanya.

