Site icon TUHAU BAMBANGAN

Keselamatan terus diperkasa: 58 unit CCTV dipasang di 5 kampung dalam DUN Darau

KOTA KINABALU: Usaha memperkukuh keselamatan komuniti terus menjadi keutamaan menerusi pelaksanaan Fasa Kedua pemasangan 58 unit kamera litar tertutup (CCTV) di lima kampung dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Darau.

Inisiatif tersebut dilaksanakan atas komitmen Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Darau, Datuk Mohamed Razali Razi, yang tekad memastikan kesejahteraan penduduk setempat sentiasa terpelihara daripada ancaman jenayah dan insiden tidak diingini.

Menurut Datuk Razali, pemasangan CCTV yang dilakukan sepanjang Jun lalu melibatkan lima buah kampung iaitu, Kampung Darau (14 unit); Kampung Rampayan (15 unit); Kampung Warisan (15 unit); Kampung Kalansanan (10 unit), dan; Kampung Likas (4 unit).

Tambahnya lagi, fasa seterusnya akan menyaksikan peluasan pemasangan ke kampung-kampung strategik lain termasuk Kampung Bangka-Bangka, Kampung Kembirian, serta sekolah-sekolah yang memerlukan di kawasan DUN Darau.

“Pemasangan ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kita untuk membentuk komuniti yang lebih selamat dan berdaya tahan. Ia bukan hanya tertumpu kepada kawasan berisiko, tetapi turut melibatkan kawasan sekolah bagi memastikan keselamatan pelajar dan guru,” jelas beliau.

Razali menekankan bahawa kehadiran CCTV telah terbukti mampu mengurangkan kadar jenayah, membantu siasatan pihak berkuasa, dan meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap keselamatan persekitaran mereka.

“CCTV memberi rasa aman kepada penduduk. Ia adalah langkah pencegahan yang efektif, malah mampu menjadi elemen penting dalam mewujudkan suasana kehidupan yang tenteram,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru kerjasama daripada penduduk kampung dan Jawatankuasa Keselamatan Kampung (JKKK) dalam menyelenggara sistem tersebut serta menjadi ‘mata dan telinga’ kepada pihak berkuasa tempatan.

“Keselamatan adalah tanggungjawab bersama. Dengan penyertaan aktif rakyat, saya yakin Darau akan terus berkembang sebagai kawasan contoh yang progresif dan selamat,” ujar beliau.

Pemasangan kamera keselamatan ini turut dilaksanakan dengan sokongan pemimpin akar umbi termasuk Ketua Cawangan Gagasan Rakyat Kampung Cenderamata 1 Likas, Mohamad Suffian Saprin, serta ahli-ahli parti yang komited menjayakan agenda keselamatan setempat.

Terdahulu, Fasa Pertama pemasangan CCTV telah dilakukan pada Februari lalu, membabitkan 24 kawasan ‘hotspot’ di sekitar Likas, yang turut menyumbang kepada peningkatan tahap keselamatan komuniti di kawasan tersebut.

Inisiatif keselamatan ini sekaligus mencerminkan keprihatinan Gagasan Rakyat terhadap kesejahteraan rakyat, khususnya di kawasan luar bandar dan pinggir bandar seperti Darau.

Exit mobile version