INANAM: Seorang lelaki dipercayai berusia dalam lingkungan 30-an maut selepas kenderaan jenis Perodua Axia yang dipandunya terbabas sendiri sebelum terjunam ke bawah jambatan sedalam 10 meter di Jalan Kionsom, Kampung Kitobu, awal pagi tadi.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui MERS999 pada jam 3.09 pagi dan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas dikejarkan ke lokasi sejauh 9 kilometer.
Komander Operasi, PBK II Datu Faizul Ekhram Datu Manong berkata, jentera bomba tiba di lokasi pada jam 3.19 pagi dan operasi dikawal sepenuhnya pada jam 3.23 pagi.
“Sebaik tiba, kami dapati sebuah kenderaan Perodua Axia terbabas dan jatuh ke bawah jambatan berketinggian kira-kira 10 meter. Terdapat seorang mangsa lelaki dewasa di dalam kenderaan berkenaan.
“Pegawai Perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang turut berada di lokasi telah mengesahkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Pasukan bomba bertindak mengangkat mangsa menggunakan basket stretcher sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.Identiti mangsa belum dikenal pasti setakat ini.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.03 pagi setelah memastikan keadaan selamat.
Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati ketika memandu terutama di laluan berisiko tinggi, terutamanya pada waktu malam dan awal pagi.

