KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan seorang ahli perniagaan bergelar Datuk kerana dipercayai menerima wang rasuah sebanyak RM6,000 kononnya untuk membantu mendapatkan darjah kebesaran negeri Pahang.
Menurut sumber, lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan kira-kira jam 12 tengah hari tadi ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Sabah.
“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai menipu seorang lelaki sekitar tahun 2023 dengan menawarkan bantuan untuk mendapatkan gelaran ‘Datuk’ dari negeri Pahang, walaupun tidak mempunyai sebarang kuasa atau kaitan rasmi bagi urusan tersebut.
“Suspek kemudian mendorong mangsa memindahkan wang kira-kira RM6,000, kononnya bagi pembelian aksesori baju istiadat sebagai persiapan menerima darjah kebesaran,” kata sumber berkenaan.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy, ketika dihubungi, mengesahkan tangkapan tersebut dan memaklumkan bahawa suspek telah dibebaskan selepas membayar wang jaminan sebanyak RM5,000 daripada keseluruhan RM10,000 yang dikenakan.
Beliau berkata, suspek akan didakwa di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu pada Khamis ini di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.
SPRM Sabah menyeru orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran palsu berkaitan penganugerahan darjah kebesaran yang hanya boleh diproses melalui saluran rasmi.

