PENAMPANG: Dua buah rumah jenis kekal musnah dijilat api dalam kejadian kebakaran yang berlaku di Jalan Dakata Kampung Penampang Proper di sini, petang tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang, Zeno Tinggalan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian kebakaran itu pada jam 4.17 petang.
“Susulan itu, seramai tujuh anggota bomba dari BBP Penampang dengan bantuan lima anggota dari BBP Putatan dan tiga anggota dari BBP Kota Kinabalu telah dikejarkan ke lokasi kejadian sejauh 3 kilometer yang tiba pada jam 4.24 petang.
“Lapor melibatkan dua buah rumah jenis kekal masing-masing berkeluasan 30×40 kaki persegi terbakar 100 peratus dan operasi pemadaman kini sedang giat dijalankan.
“Operasi terkawal pada jam 5 petang,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Tambahnya lagi, sebarang maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa.
Agensi lain yang turut bersama-sama dalam operasi ini termasuklah empat anggota PDRM dan empat anggota APM.

