TAWAU: Seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun ditahan selepas disyaki menyimpan senjata api tanpa lesen dalam satu serbuan polis di kawasan Kalabakan, di sini semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Champin Piuh berkata, tangkapan dilakukan sepasukan anggota dari Balai Polis Kalabakan ketika menjalankan rondaan Ronda Cegah Jenayah (RCJ).
“Hasil pemeriksaan membawa kepada penemuan satu laras senapang patah (bakakuk), satu laras senapang angin buatan sendiri, dua batang paip besi, satu rangka senjata api yang tidak lengkap dan tiga biji peluru berlainan jenis.
“Kesemua barangan tersebut ditemui dalam kawasan semak yang ditutupi dengan kain hitam berhampiran rumah suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Suspek kemudiannya ditahan dan dibawa ke Balai Polis Kalabakan sebelum diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000, atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.
Pihak polis menegaskan komitmen mereka dalam membanteras sebarang bentuk pemilikan senjata api secara haram dan menyeru orang awam agar menyalurkan maklumat jika mengetahui sebarang kegiatan seumpama itu di kawasan mereka.

