Site icon TUHAU BAMBANGAN

Tawar seks melalui MiChat, wanita 21 tahun ditahan di Lahad Datu

LAHAD DATU: Seorang wanita tempatan berumur 21 tahun ditahan polis selepas disyaki menawarkan perkhidmatan seks melalui aplikasi MiChat dalam satu operasi bersepadu Op Noda yang dijalankan di sebuah hotel di Bandar Lahad Datu, malam tadi.

Operasi yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu itu berjaya mengenal pasti kegiatan haram berkenaan hasil maklumat risikan dan pemantauan pihak berkuasa.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Dzulbaharin Ismail memaklumkan, hasil pemeriksaan mendapati wanita terbabit dipercayai menawarkan perkhidmatan seks dengan bayaran antara RM250 hingga RM350.

“Turut dirampas dalam operasi itu ialah sebuah telefon bimbit dipercayai digunakan untuk berhubung dengan pelanggan, beberapa keping kondom, dan sejumlah wang tunai yang dipercayai hasil aktiviti tersebut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan, boleh membawa hukuman penjara sehingga satu tahun, denda, atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Tambah beliau, pihak polis menegaskan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam kegiatan pelacuran, termasuk mereka yang menggunakan platform digital dan aplikasi mudah alih sebagai medium perantara.

Polis juga menyeru orang ramai untuk terus bekerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan jenayah demi menjaga keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.

Exit mobile version