PENAMPANG: Sebuah premis hiburan di New World Commercial Centre, Penampang diserbu polis selepas didapati beroperasi tanpa lesen sah dan melebihi waktu yang dibenarkan, dalam satu operasi bersepadu dikenali sebagai Op Noda (Pusat Hiburan) yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang.
Dalam serbuan tersebut, seorang remaja lelaki berusia 18 tahun yang bertindak sebagai penjaga premis ditahan manakala pelbagai peralatan muzik milik premis turut dirampas.
Menurut Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton, kes disiasat mengikut Seksyen 3 dan Seksyen 4 Ordinan Hiburan Awam 1958 kerana kesalahan menjalankan aktiviti hiburan awam tanpa lesen dan beroperasi melebihi masa ditetapkan.
“Kesemua rampasan bersama suspek telah dibawa ke IPD Penampang untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Superintendan Sammy turut memberi peringatan kepada semua pengusaha premis hiburan di daerah ini agar mematuhi undang-undang dan mendapatkan lesen hiburan awam yang sah, selain tidak melanggar waktu operasi yang ditetapkan.
“Polis akan terus mempertingkatkan pemantauan dan tindakan penguatkuasaan secara berkala bagi memastikan aktiviti hiburan dijalankan secara sah dan tidak mengganggu kesejahteraan masyarakat,” tegas beliau.
IPD Penampang komited untuk memastikan ketenteraman awam sentiasa terpelihara dan menyeru orang ramai agar terus bekerjasama menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti yang mencurigakan atau melanggar peraturan.

