TAWAU: Seorang remaja perempuan berusia 14 tahun mengalami kecederaan dan trauma selepas dipercayai dipukul oleh ayah kandungnya sendiri menggunakan objek keras dalam kejadian yang berlaku di rumah nenek mangsa, Isnin lalu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Champin Piuh, berkata suspek berusia 42 tahun itu ditahan kira-kira jam 8.30 malam semalam di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, selepas laporan dibuat oleh bekas isterinya pada jam 5.41 petang hari sama.
“Mangsa yang kini tinggal bersama neneknya menghubungi ibunya di Kota Kinabalu untuk memaklumkan kejadian. Siasatan mendapati suspek bertindak memukul mangsa di bahagian telinga kiri dan seluruh badan menggunakan objek keras kira-kira jam 9.30 pagi,” katanya.
Motif kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara suspek dan bekas isterinya berhubung satu tuduhan yang dilemparkan di hadapan anak mereka.
Mangsa mengalami kesan lebam di seluruh badan dan trauma akibat insiden itu. Susulan laporan, polis turut merampas satu gulung plastik kelabu yang dipercayai digunakan dalam kejadian.
Semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai dua kesalahan jenayah terdahulu di bawah Seksyen 427 dan Seksyen 160 Kanun Keseksaan, termasuk satu sabitan terdahulu.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana penganiayaan, pengabaian atau pendedahan terhadap kanak-kanak kepada bahaya, yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun atau denda sehingga RM50,000, atau kedua-duanya.
Polis menasihatkan ibu bapa agar tidak menjadikan konflik rumah tangga sebagai alasan untuk mencederakan atau mendera anak-anak, kerana ia boleh memberi kesan buruk terhadap fizikal dan emosi mereka serta membawa kepada tindakan undang-undang.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes penderaan kanak-kanak diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berdekatan.

