SEMPORNA: Kecekapan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah membuahkan hasil apabila berjaya menggagalkan dua kegiatan penyeludupan berasingan melibatkan hasil laut dari Filipina dan penyelewengan minyak sawit mentah (CPO) dalam operasi yang dijalankan di perairan timur Sabah, awal pagi tadi.
Dalam operasi pertama yang dijalankan kira-kira jam 6.30 pagi di perairan Pulau Sibangkat, Semporna, PPM Semporna berjaya menahan empat bot yang membawa 8 warga asing berusia antara 17 hingga 40 tahun dipercayai dalam cubaan menyeludup masuk hasil laut ke Malaysia.
Hasil pemeriksaan menemukan 824 ekor udang lipan (Mantis Shrimp) dan udang karang (Lobster) yang dianggarkan bernilai RM116,290.00. Kesemua suspek gagal mengemukakan dokumen daripada Jabatan Perikanan dan kini disiasat di bawah Akta Perikanan 1985.
Dalam operasi berasingan yang dijalankan serentak, PPM Sabah turut menggagalkan cubaan menyeleweng 600 liter minyak sawit mentah (CPO) di kawasan Lahad Datu. Seorang lelaki yang disyaki dalang kegiatan tersebut turut ditahan bersama sebuah lori bonded jenis Isuzu yang membawa muatan tangki dan tong berisi CPO.
Operasi ini dilaksanakan secara bersepadu bersama Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Lahad Datu, dengan anggaran nilai rampasan mencecah RM124,100.00.
Menurut PPM Sabah, rampasan ini menjadikan jumlah keseluruhan nilai CPO yang berjaya disita sejak Januari hingga kini berjumlah RM12.47 juta.
PPM Wilayah 4 Sabah menegaskan komitmennya untuk terus memperketat penguatkuasaan di perairan dan daratan bagi membanteras sebarang bentuk aktiviti penyeludupan yang menggugat keselamatan dan ekonomi negara.
Orang awam diseru untuk menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mengesan sebarang kegiatan mencurigakan di kawasan perairan dan sempadan.

