KOTA KINABALU: Seorang wanita dipercayai menjadi mangsa pukau di sekitar kawasan Api-Api, tengah hari tadi, apabila kesemua barang kemas dan wang tunai berjumlah RM11,000 miliknya dilaporkan hilang tanpa disedari.
Perkara itu didedahkan oleh adiknya, Nur Fathiha Osman menerusi satu hantaran di laman Facebook, petang tadi.
Menurut Nur Fathiha, kakaknya hanya mengingati seseorang memberi salam dengan ucapan “Assalamualaikum”, sebelum hilang ingatan sepenuhnya tentang kejadian yang berlaku seterusnya.
“Semua barang kemas kakak saya hilang, rantai, gelang, cincin, anting-anting semuanya emas. Duit tunai RM11,000 yang dia baru keluarkan untuk bayar baki majlis kahwin bulan depan pun lesap,” tulisnya.
Dalam hantaran itu juga, Nur Fathiha memohon orang ramai yang berada di sekitar kawasan Api-Api, Kota Kinabalu pada waktu kejadian supaya tampil membantu jika mempunyai maklumat atau menyaksikan kejadian tersebut.
Beliau turut menyatakan bahawa laporan polis akan dibuat segera berkaitan kejadian itu dan berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan pantas.
Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat diminta menyalurkan terus kepada polis berhampiran atau menghubungi keluarga mangsa bagi membantu siasatan.
Setakat ini, pihak polis belum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai insiden berkenaan.

