PAPAR: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sedang merangka manifesto pilihan raya yang berpaksikan kepada dua komponen utama, iaitu kesinambungan empat teras perjuangan GRS serta pencapaian dan hala tuju masa depan melalui dasar Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 1.0.
Timbalan Setiausaha GRS, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat pertama Task Force Manifesto GRS yang dipengerusikaannya sendiri atas mandat yang diberikan oleh Pengerusi GRS merangkap Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.
“Task force ini dianggotai wakil daripada kesemua lapan parti komponen dalam GRS dan telah mengadakan mesyuarat pertama semalam dengan suasana yang sangat konstruktif. Daripada perbincangan itu, kita menetapkan bahawa kerangka manifesto GRS akan mengandungi dua komponen utama,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Tayangan Komersial Short Film Sabah dan Tayangan Perdana Impak Maksima 2 di Benoni, semalam.
Armizan menjelaskan bahawa komponen pertama adalah kesinambungan kepada empat teras perjuangan GRS yang telah menjadi asas sejak penubuhannya, iaitu: Sabah First – Keutamaan kepada kepentingan negeri Sabah.; Sabah Forward – Kemajuan ke hadapan dalam pembangunan; Sabah Prosper – Kemakmuran dan kesejahteraan rakyat.; Sabah United – Penyatuan rakyat Sabah merentas kaum dan wilayah.
“Kita tidak akan lari daripada empat teras ini kerana ia adalah asas perjuangan GRS sejak awal. Ikhtiar serta agenda ke depan kita akan dirangkumkan dalam empat kerangka besar ini,” jelasnya.
Komponen kedua pula katanya, adalah penzahiran kepada komitmen GRS sejak diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2020, melalui pelaksanaan Hala Tuju Sabah Maju Jaya 1.0.
Armizan berkata, dalam usaha menyampaikan hala tuju masa depan Sabah untuk lima tahun akan datang, GRS tidak akan melupakan untuk menilai dan memaparkan apa yang telah dicapai sejak 2020.
“Kita akan tampilkan dalam bentuk Walk the Talk, iaitu pencapaian sebenar yang telah kita laksanakan. Dan juga Work in Progress, iaitu ikhtiar yang telah dimulakan namun masih berjalan dan akan diteruskan,” katanya lagi.
Beliau menegaskan bahawa walaupun landskap politik dan kerjasama dalam kerajaan telah berubah – termasuk kerjasama terkini antara GRS dan PH melalui kerajaan GRS-PH Plus, prinsip perjuangan GRS tetap utuh dan berasaskan mandat rakyat.
“Ini bukan sekadar manifesto janji pilihan raya, tetapi satu refleksi terhadap apa yang telah dilaksanakan, dan satu pelan tindakan menyeluruh untuk masa depan Sabah,” tegas Armizan.
Menurutnya lagi, segala rumusan dan perincian manifesto akan dibawa kepada pertimbangan kepimpinan Majlis Tertinggi GRS sebelum diumumkan secara rasmi menjelang pilihan raya negeri yang akan datang.
Penggubalan manifesto GRS ini dilihat sebagai usaha awal dan serius parti pemerintah negeri untuk menampilkan naratif politik berasaskan rekod pencapaian sebenar, bukan sekadar retorik pilihan raya.

