Site icon TUHAU BAMBANGAN

Sabah belanja hampir RM1 bilion untuk pendidikan sejak 2021, komited bangunkan modal insan

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah telah membelanjakan sebanyak RM848.26 juta bagi pelbagai bentuk bantuan pendidikan sepanjang tempoh empat tahun dari 2021 hingga 2024, sebagai komitmen berterusan dalam memperkasa pembangunan modal insan negeri.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata pelaburan besar ini adalah bukti jelas kesungguhan kerajaan dalam memastikan setiap anak Sabah menerima akses kepada pendidikan yang berkualiti dan saksama.

“Komitmen Kerajaan Negeri terhadap pembangunan modal insan amat jelas kerana kita percaya setiap anak Sabah berhak mendapat pendidikan yang berkualiti dan saksama,” katanya.

Ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, sempena Konvensyen Pendidikan Kali Ke-29 dan Persidangan Agung Perwakilan Kali Ke-3 Persatuan Guru Besar Malaysia di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), malam tadi.

Hajiji turut mendedahkan bahawa sebanyak 14 inisiatif baharu telah diperkenalkan sejak lima tahun lalu, melibatkan peruntukan RM164.14 juta, memberi manfaat secara langsung kepada 210,918 pelajar di seluruh negeri.

Antara inisiatif utama termasuk, Bantuan Tunai Pendaftaran Kemasukan IPT (BUDI); Program Graduan Rindu Sabah (GRS-SUBFLY); dan Sumbangan Mahasiswa Pengajian Tinggi Dalam Negeri (SENTOSA)

“Semua inisiatif ini mencerminkan kesungguhan Kerajaan Negeri Sabah untuk membina sistem pendidikan yang inklusif, progresif dan lestari,” ujarnya.

Dalam konteks pendidikan abad ke-21, Hajiji turut menekankan pentingnya peranan guru besar sebagai pemimpin utama dalam sesebuah sekolah.

“Kualiti sesebuah sekolah amat bergantung kepada keberkesanan kepemimpinan guru besar dalam mentadbir, membimbing warga pendidik, dan memacu pembaharuan pendidikan yang selaras dengan aspirasi negara.”

Beliau menyifatkan konvensyen itu sebagai platform penting untuk berkongsi pengalaman dan strategi demi mempertingkatkan kepimpinan serta kecemerlangan pengurusan sekolah.

Hajiji turut merakamkan penghargaan kepada Persatuan Guru Besar Malaysia atas usaha memperjuangkan profesionalisme kepimpinan sekolah rendah di seluruh negara.

“Justeru, marilah kita berganding bahu memartabatkan profesion perguruan, memperkukuh peranan guru besar dan terus berusaha memperkasakan anak bangsa,” katanya mengakhiri ucapan.

Inisiatif dan pelaburan ini dilihat selari dengan Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya, yang menekankan pembangunan modal insan sebagai teras utama menuju kemajuan menyeluruh negeri.

Exit mobile version