Site icon TUHAU BAMBANGAN

GRS komited hadkan tempoh Ketua Menteri kepada 2 penggal apabila dapat mandat semula terajui Sabah 

PAPAR: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan menjadikan cadangan menghadkan tempoh jawatan Ketua Menteri Sabah kepada dua penggal berturut-turut sebagai antara ikhtiar utama dalam manifestonya bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Timbalan Setiausaha GRS, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, perkara itu telah diputuskan dan diluluskan oleh Kabinet Negeri Sabah yang diterajui GRS dan PH Plus pada Disember 2023.

Bagaimanapun, pelaksanaannya memerlukan pindaan kepada Perlembagaan Negeri Sabah, yang hanya boleh dilakukan dengan sokongan dua pertiga majoriti Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Di bawah kerangka Sabah United, usaha bukan hanya tertumpu kepada penyatuan rakyat Sabah, tetapi juga pembinaan tadbir urus (governance) yang lebih baik. Komitmen untuk mengehadkan tempoh Ketua Menteri kepada dua penggal berturut-turut adalah sebahagian daripada reformasi penting ke arah itu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Tayangan Komersial Short Film Sabah dan Tayangan Perdana Impak Maksima 2 di Benoni, Papar semalam.

Beliau menegaskan, draf Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan pindaan tersebut sedang disediakan, dan akan dibawa ke DUN sebaik sahaja GRS memperoleh mandat baharu daripada rakyat dalam PRN akan datang.

“Kita perlukan kemenangan besar, bukan hanya untuk bentuk kerajaan, tetapi untuk memperoleh majoriti dua pertiga bagi membolehkan pindaan ini diluluskan,” katanya.

Armizan turut menjelaskan bahawa had dua penggal itu merujuk kepada tempoh dua penggal berturut-turut sahaja, dan tidak bermaksud menutup ruang kepada individu yang masih layak untuk kembali memimpin selepas tempoh rehat.

“Kalau ada tokoh yang hebat, berkelayakan dan masih mendapat sokongan rakyat, boleh kembali selepas satu penggal berehat. Tapi dua penggal secara berterusan sahaja dibenarkan,” katanya.

Beliau berkata, langkah ini akan menjadi tanda komitmen GRS terhadap reformasi institusi dan menjamin sistem pentadbiran yang lebih berintegriti serta bersifat progresif.

“Ini bukan janji kosong. Ia sudah diputuskan di peringkat kabinet, kini hanya menanti mandat rakyat. Kita mahu maknakan reformasi ini demi masa depan Sabah yang lebih baik,” tegasnya lagi.

GRS menjadikan prinsip ini sebagai antara tonggak utama dalam naratif “Sabah United Moving Forward”, sebagai wadah menyatupadukan rakyat dan memperkukuh struktur demokrasi serta kebertanggungjawaban dalam pentadbiran negeri.

Exit mobile version