Site icon TUHAU BAMBANGAN

Ketua Menteri jumpa PMX, bincang isu dan perkembangan semasa Sabah

PUTRAJAYA: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mengadakan pertemuan rasmi dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pejabat Perdana Menteri di sini bagi membincangkan pelbagai isu dan perkembangan semasa yang melibatkan negeri Sabah pada Isnin.

Pertemuan dua hala itu diadakan sejurus selesai Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri Ke-146 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri di Bilik Mesyuarat Perdana, Bangunan Perdana Putra.

Antara agenda utama perbincangan adalah berkenaan pelaksanaan inisiatif pembangunan di bawah kerangka Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) serta isu-isu semasa yang berkaitan dengan keperluan dan kepentingan rakyat Sabah.

Dalam pertemuan tersebut, Hajiji turut menyerahkan Laporan Tahunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2024 kepada Perdana Menteri, yang mengandungi pencapaian dan kemajuan pelaksanaan dasar-dasar pembangunan negeri sejak diperkenalkan pada tahun 2021.

Ketua Menteri turut diiringi oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Panglima Safar Untong yang memainkan peranan penting dalam sesi taklimat kepada Perdana Menteri serta menteri besar dan ketua menteri lain, khususnya berkaitan potensi dan perkembangan Ekonomi Biru di Sabah.

Sementara itu, Hajiji dijadualkan mengiringi Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman ke Mesyuarat Majlis Raja-Raja Kali Ke-269 yang akan berlangsung di Istana Negara pada Rabu dan Khamis ini.

Pertemuan dan penyertaan aktif Ketua Menteri dalam mesyuarat-mesyuarat penting di peringkat Persekutuan menunjukkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam memperkukuh hubungan persekutuan-negeri demi kemajuan Sabah secara menyeluruh.

Exit mobile version