TAWAU: Dua lelaki yang bertindak agresif merempuh kenderaan polis dan melanggar beberapa kenderaan awam dalam cubaan meloloskan diri daripada ditahan, akhirnya berjaya diberkas pihak berkuasa dalam insiden mencemaskan yang tular di media sosial sejak malam Ahad lalu.
Kejadian berlaku sekitar jam 1.45 petang berhampiran lampu isyarat Batu 3, Jalan Apas, apabila sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau menjalankan serbuan menerusi Op Tapis setelah mengesan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.
Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Champin Piuh, suspek bertindak nekad apabila cuba melarikan diri dengan memecut laju dan merempuh kenderaan polis serta melanggar beberapa kenderaan milik orang awam di sepanjang laluan.
“Suspek melarikan diri ke arah lampu isyarat Jalan Apas dan terus memandu secara melulu, membahayakan pengguna jalan raya. Namun, kedua-dua mereka akhirnya berjaya ditahan selepas pasukan polis mengepung kenderaan di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan mendapati sebuah beg kain yang disorokkan di bawah brek tangan, mengandungi dua paket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih dipercayai dadah jenis syabu seberat 5.13 gram, dengan nilai anggaran sekitar RM400.
Siasatan awal turut mendapati kedua-dua suspek, iaitu seorang lelaki tempatan berusia 25 tahun dan seorang warga asing berusia 18 tahun, positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, dan usaha mengesan individu lain yang mungkin terlibat masih diteruskan.
Superintendan Champin menegaskan bahawa pihak polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang bertindak agresif dan membahayakan keselamatan orang ramai.
“Polis menyeru orang awam agar tidak melindungi pengedar dadah dan terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah melalui saluran rasmi termasuk talian hotline IPD Tawau di 089-772121 atau aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP),” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa pengedaran dan penyalahgunaan dadah merupakan ancaman besar terhadap keselamatan komuniti, dan kerjasama masyarakat amat penting dalam usaha membanteras jenayah tersebut.

