SANDAKAN: Atlet pecut negara, Nur Aisyah Rofina Aling, atau lebih dikenali dengan gelaran “Gadis Turbo”, terus mengukir nama sebagai simbol keunggulan dalam dunia sukan negara apabila berjaya meraih pingat emas di Kejohanan Terbuka Thailand baru-baru ini.
Anak jati Sandakan berusia 26 tahun itu bukan sekadar pelari pantas di trek, malah turut membanggakan apabila berjaya menamatkan pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), sekali gus membuktikan bahawa kecemerlangan boleh dicapai dalam kedua-dua bidang, akademik dan sukan.
“Gelaran Gadis Turbo tu bukan sekadar panggilan, tapi motivasi besar bagi saya. Setiap kali orang sebut, saya lebih bersemangat untuk buktikan kemampuan,” ujar Nur Aisyah ketika berkongsi kisah perjuangannya dalam satu program iNSPO anjuran Jabatan Penerangan Sabah baru-baru ini.
Minat Nur Aisyah dalam sukan bermula sejak di bangku sekolah rendah apabila guru-guru mendorong beliau menyertai acara balapan. Sokongan berterusan daripada guru dan keluarga membuka jalan untuknya melangkah jauh dalam dunia olahraga.
“Semua bermula dari sekolah rendah. Cikgu yang selalu beri galakan, minta saya cuba lari. Dari situlah saya mula serius dan bila masuk sekolah menengah, prestasi semakin baik,” katanya.
Kejayaan di Thailand tidak datang dengan mudah. Nur Aisyah mendedahkan bahawa beliau terpaksa menangguhkan pengajiannya selama setahun bagi memberi tumpuan penuh kepada latihan dan penyertaan dalam kejohanan antarabangsa termasuk Sukan SEA, Sukan Asia dan Kejohanan Dunia pada tahun 2023.
“Walaupun terpaksa tangguh belajar, saya tak pernah putus asa. Syukur, saya berjaya tamatkan pengajian walaupun sedikit lewat. Semua itu adalah pengorbanan yang berbaloi,” jelasnya.
Berkongsi tentang rejim latihan, beliau menjelaskan penggunaan kaedah “high-low training” bagi memastikan keseimbangan intensiti, selain memberi fokus kepada teknik pemulaan larian terutama dalam fasa 20 ke 30 meter pertama.
“Jurulatih banyak beri perhatian kepada acceleration dan reaction time. Saya juga amalkan visualisasi, bayangkan situasi pertandingan, bunyi tembakan mula, semua itu bantu saya tenang dan fokus semasa permulaan,” tambahnya.
Sebelum menamatkan sesi temu bual, beliau sempat menitipkan pesanan penuh inspirasi kepada golongan muda yang bercita-cita tinggi:
“Kalau kamu ada impian, kejar ja. Jangan takut gagal. Percaya sama proses, jaga disiplin, jangan cepat mengalah dan paling penting, jangan lupa berdoa. Tiada jalan mudah, tapi semua usaha tu pasti berbaloi.”
Kisah Nur Aisyah adalah manifestasi bahawa kejayaan tidak mengenal asal usul dengan semangat, dedikasi, dan sokongan padu, impian besar mampu direalisasikan.

