Site icon TUHAU BAMBANGAN

Lelaki hilang, dipercayai dibaham buaya ketika menjala ikan di Sandakan

SANDAKAN: Seorang lelaki dilaporkan hilang dan dipercayai dibaham buaya ketika menjalankan aktiviti menjala ikan di Sungai Taman Kenari, dekat sini, malam tadi.

Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sandakan, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada jam 8.50 pagi tadi, memohon bantuan operasi mencari dan menyelamat (SAR) susulan kejadian tersebut.

Susulan itu, pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan yang diketuai oleh PBK I Chauslim Sunsubin bersama lima anggota bergegas ke lokasi dan tiba tujuh minit kemudian, iaitu pada jam 8.57 pagi.

Menurut maklumat awal, mangsa dipercayai menjalankan aktiviti menjala ikan pada jam 9.00 malam semalam sebelum kejadian berlaku. Sehingga kini, identiti dan umur mangsa masih belum diperolehi, namun beliau disahkan seorang lelaki.

“Pasukan kami sedang mendapatkan maklumat lanjut di lokasi kejadian dan akan memulakan operasi pencarian sejurus siasatan awal selesai. Setakat ini, status mangsa masih belum ditemui dan operasi masih berjalan,” menurut kenyataan JBPM.

Operasi SAR turut melibatkan kerjasama rapat bersama pihak PDRM dan jentera yang digunakan termasuk satu unit Fire Rescue Tender (FRT) dengan empat anggota, sebuah pacuan empat roda jenis VIGO dengan seorang anggota, namun bot penyelamat masih belum digunakan.

Ketua BBP Sandakan, PKPgB Jimmy Lagung turut memaklumkan bahawa sebarang perkembangan operasi akan dikemaskini dari semasa ke semasa.

Orang ramai yang mempunyai maklumat atau melihat kejadian diminta untuk menghubungi pihak berkuasa bagi membantu operasi pencarian mangsa.

Exit mobile version