Site icon TUHAU BAMBANGAN

GRS solo atau gabung, biar pucuk pimpinan tentukan, jentera di bahagian jangan buat kesimpulan sendiri – Masiung

SANDAKAN: Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Masiung Banah menegaskan bahawa keputusan sama ada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bergerak secara solo atau bergabung dengan parti nasional dalam Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17) perlu diserahkan sepenuhnya kepada pimpinan tertinggi parti.

Menurut beliau, pemimpin dan jentera parti di peringkat bahagian tidak sepatutnya membuat andaian atau kesimpulan sendiri mengenai hal tersebut, sebaliknya memberi tumpuan kepada persiapan jentera dan kekuatan akar umbi menjelang PRN akan datang.

“Pertembungan dengan UMNO atau Barisan Nasional (BN) hampir pasti berlaku dalam PRN-17. Namun, sama ada GRS bergabung atau bergerak secara solo, itu keputusan yang harus dibuat oleh pimpinan parti,” katanya ketika mengadakan lawatan kerja ke Pejabat Gagasan Rakyat Sukau, di sini, semalam.

Lawatan itu turut disertai Timbalan Pengerusi Zon 10 merangkap ADUN Karamunting, Datuk George Hiew Vun Zin, bagi meninjau kesiapsiagaan jentera Gagasan Rakyat di kawasan Sukau.

Masiung yang juga Pengerusi Penyelaras Zon 10 berkata, meskipun Gagasan Rakyat dianggap sebagai ‘underdog’ di Sukau, beliau percaya usaha dan persiapan menyeluruh jentera parti akan mampu menghasilkan kejutan di PRN-17.

“Saya pesan kepada pimpinan di peringkat bahagian supaya tidak hanya bergantung kepada laporan atas kertas. Pemimpin kanan perlu turun padang dan menilai sendiri kekuatan serta keperluan jentera,” tambah beliau.

Beliau turut menyeru agar sayap Pemuda, Wanita dan Beliawanis memperkukuh peranan mereka dalam menangkis tohmahan serta fitnah yang dilemparkan pembangkang, terutama menjelang kempen pilihan raya.

Masiung turut membidas naratif “Kerajaan Gagal” yang sering dimainkan pembangkang, sambil menyatakan bahawa fakta dan rekod menunjukkan sebaliknya.

“Pendapatan kerajaan Sabah di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor terus meningkat saban tahun dan kini hampir mencecah RM10 bilion – satu pencapaian luar biasa yang tidak pernah dicapai oleh mana-mana kerajaan terdahulu, termasuk BN dan Warisan,” tegasnya.

Katanya, kejayaan ini membuktikan keberkesanan pentadbiran GRS dalam merancang serta melaksanakan dasar ekonomi negeri secara mampan dan inklusif.

“Ini adalah fakta yang tidak boleh dinafikan walau berapa banyak kali pembangkang cuba mengulang-ulang naratif kegagalan,” ujarnya.

PRN-17 dijangka menjadi medan penting untuk menentukan hala tuju politik Sabah, dengan Gagasan Rakyat dilihat bersedia memperkukuh pengaruhnya di seluruh negeri.

Exit mobile version