KOTA KINABALU: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof hari ini mengadakan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Teknikal di bawah Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) bersama Kerajaan Negeri Sabah, bagi memperincikan usaha berterusan memperkasa hak dan pembangunan negeri ini.
Terdahulu, setibanya di Sabah, beliau mengadakan kunjungan hormat ke atas Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima Dr Haji Musa Haji Aman di Istana Seri Kinabalu semalam, yang juga merupakan pertemuan rasmi pertama sejak Tun Musa dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri ke-11 pada 1 Januari 2025.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berkata, kunjungan itu merupakan tanda hormat dan peluang untuk memaklumkan mengenai hala tuju serta perancangan kementerian itu dalam membantu Sabah dalam sektor tenaga dan air.
“Selain penerangan berkaitan peranan PETRA, saya turut memaklumkan kepada Tuan Yang Terutama Tun mengenai Mesyuarat Khas JK Teknikal MA63 serta program Skuad PETRA yang akan berlangsung selama dua hari bermula esok,” jelasnya dalam satu kenyataan media semalam.
Dalam pertemuan itu, Tun Musa turut menzahirkan harapan agar Kerajaan Persekutuan memperkukuh kerjasama dengan Kerajaan Negeri Sabah, khususnya melalui perbincangan bersama Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, demi memastikan rakyat Sabah mendapat manfaat sepenuhnya daripada dasar dan inisiatif kerajaan.
Lawatan serta mesyuarat khas ini dilihat sebagai satu lagi komitmen Kerajaan MADANI untuk memastikan Sabah terus maju seiring dengan negeri-negeri lain di Malaysia, selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963.

