Site icon TUHAU BAMBANGAN

“Terima kasih Muhyiddin” GRS jalan terus & sambut baik kenyataan PN – Armizan

PENAMPANG: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menyifatkan kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menolak sebarang bentuk kerjasama dengan GRS sebagai satu langkah yang memudahkan urusan politik gabungan itu menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

Timbalan Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pihaknya berterima kasih kepada Tan Sri Muhyiddin kerana secara tidak langsung telah menjelaskan kepada umum bahawa tidak pernah wujud sebarang cadangan kerjasama antara PN dan GRS.

“Pendapat peribadi saya, kita patut berterima kasih kepada Tan Sri Muhyiddin. Tanpa kita perlu mengeluarkan kenyataan rasmi, beliau sendiri sudah paparkan bahawa tidak pernah ada cadangan kerjasama antara kita.

“Ia juga memudahkan kita kerana tidak perlu menolak secara terbuka mana-mana pihak. Kita tak nampak sombong atau angkuh. Biar orang lain yang bercakap, dan kita hanya mengalu-alukan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media sempena perasmian Contest 2025 Festival Pengguna di ITC, Penampang.

Beliau menegaskan bahawa fokus utama GRS ketika ini bukanlah kepada mana-mana blok atau gabungan politik luar, sebaliknya terus memberi keutamaan kepada usaha mendapatkan kepercayaan rakyat Sabah.

“Yang penting bukan siapa tolak siapa, tapi usaha kita untuk meraih sokongan rakyat. GRS jalan terus,” katanya.

Armizan juga menyentuh isu sentimen kuasa politik yang dikawal dari luar Sabah apabila seseorang itu berada dalam parti nasional.

Katanya, budaya politik sedemikian menyukarkan autonomi negeri kerana calon dan Ketua Menteri terpaksa bergantung kepada keputusan kepimpinan pusat dari Semenanjung Malaysia.

“Kalau kita dalam parti nasional, watikah calon pilihan raya dikeluarkan oleh pimpinan pusat. Calon Ketua Menteri pula ditentukan oleh kepimpinan pusat. Maka, siapa yang terpilih akan dituntut untuk setia kepada pihak di sana, bukan rakyat Sabah,” ujarnya.

Sebaliknya, katanya lagi, parti lokal memberi ruang kepada rakyat Sabah sendiri menentukan siapa calon dan siapa yang akan memimpin negeri.

“Sudah sampai masa kita hantar isyarat, bahawa the master is not there, the master is here. Yang paling berkuasa adalah rakyat Sabah,” tegasnya.

Exit mobile version