SANDAKAN: Perikatan Nasional (PN) menyatakan kesediaan untuk mempertimbangkan sebarang bentuk kerjasama atau pakatan pilihan raya dengan mana-mana parti politik bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, kecuali dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, parti itu terbuka untuk berbincang dengan pihak yang berkongsi matlamat politik yang sama, terutama dalam usaha menamatkan dominasi parti-parti yang dilihat gagal memenuhi aspirasi rakyat Sabah.
Namun, beliau secara tegas menolak kemungkinan bekerjasama dengan GRS, yang menurutnya telah mengkhianati PN selepas keluar daripada gabungan itu dan membentuk kerajaan negeri sendiri.
“Kita terbuka untuk rundingan, tetapi saya ingin tegaskan bahawa kita tidak akan bekerjasama dengan GRS.
“Mereka telah mengkhianati kita selepas PRN Sabah yang lalu. Itu pendirian PN,” katanya seperti dipetik dalam laporan Harian Metro, semalam.
Muhyiddin turut menyatakan bahawa PN kini sedang meneliti kekuatan di peringkat akar umbi di Sabah dan sedang mengenal pasti kawasan strategik untuk ditandingi, termasuk menilai potensi calon tempatan yang diyakini mampu membawa perubahan positif kepada rakyat negeri itu.

