Site icon TUHAU BAMBANGAN

PRN Sabah: Warisan terus gerak solo, kekal tiada gabungan

KUNAK: Parti Warisan menegaskan pendirian untuk terus bergerak secara solo dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 dan tidak akan membentuk sebarang gabungan politik, sama ada sebelum atau selepas pilihan raya.

Ketua Penerangan Warisan, Datuk Mohd Azis Jamman berkata, fokus utama parti itu kini adalah untuk mempertahankan kerusi-kerusi yang pernah dimenangi sebelum ini serta menambah bilangan kerusi mencukupi bagi membentuk kerajaan negeri.

“Kita perlu ada mentaliti menang. Kita mesti yakin, dan keyakinan itu harus dikongsi bersama rakyat. Saya percaya Warisan mampu melepasi angka 37 kerusi seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Negeri untuk membentuk kerajaan sendiri,” katanya kepada media selepas menghadiri sesi sembang santai bersama komuniti Kunak, semalam.

Turut hadir, Ahli Majlis Tertinggi Warisan merangkap Ahli Parlimen Lahad Datu, Datuk Mohammad Yusof Apdal yang memberi jaminan bahawa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kunak akan terus dipertahankan oleh Warisan dengan menampilkan calon terbaik.

“Kunak adalah kerusi yang dimenangi Warisan semasa PRN-16 lalu. Walaupun berlaku peralihan wakil rakyat, sokongan rakyat Kunak terhadap Warisan tetap kukuh. Mereka masih setia bersama perjuangan parti,” katanya.

Exit mobile version