Site icon TUHAU BAMBANGAN

Penunggang motosikal maut dilanggar lari di Tuaran, polis giat buru pemandu Iswara

TUARAN: Seorang penunggang motosikal maut dalam satu kejadian langgar lari yang berlaku di Kampung Lok Batik, Jalan Sulaman-Tuaran, awal pagi kelmarin.

Menurut Ketua Polis Daerah Tuaran, Superintenden Noraidin Ag. Maidin, kejadian berlaku sekitar jam 7.50 pagi apabila mangsa yang menunggang motosikal Modenas Kriss dipercayai telah dilanggar oleh sebuah kenderaan Proton Iswara berwarna perak/hitam.

“Siasatan awal mendapati pemandu kenderaan tersebut telah meninggalkan keretanya di hadapan sebuah rumah tidak beralamat, kira-kira 200 meter dari lokasi kejadian, sebelum melarikan diri,” katanya dalam satu kenyataan.

Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat kemalangan jalan raya.

Beberapa individu telah dipanggil dan dirakam percakapan bagi membantu siasatan.

Pihak polis kini sedang giat mengesan pemandu Proton Iswara terbabit dan menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat untuk tampil membantu siasatan.

Maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Trafik IPD Tuaran, Insp. Haffiz di talian 011-61600964 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.

Orang ramai juga dinasihatkan agar sentiasa berhemah dan mematuhi undang-undang jalan raya bagi mengelakkan tragedi seumpama ini.

Exit mobile version