PENAMPANG: Ketua Menteri merangkap Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor menyifatkan laungan semangat “GRS Solo” yang bergema sepanjang Konvensyen Bersama PBS-STAR sebagai petanda positif bahawa perpaduan dalam GRS semakin kukuh menjelang Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).
Beliau berkata, semangat luar biasa yang ditunjukkan oleh pimpinan dan akar umbi GRS pada konvensyen itu memberi keyakinan bahawa gabungan tempatan itu bersedia untuk berhadapan dengan rakyat dan mempertahankan tampuk pentadbiran negeri.
“Apabila orang sebut GRS, apa yang kita nak jawab? Ini petanda baik untuk perpaduan dalam GRS dan semangat yang ditunjukkan sangat tinggi. Kita bersedia untuk berdepan dengan rakyat,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan konvensyen berkenaan di Hongkod Koisaan, Penampang, semalam.
Mengulas mengenai kemungkinan GRS bertanding secara solo dalam PRN akan datang, Hajiji berkata perkara itu akan dibincangkan dan diputuskan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi GRS.
“Adakah GRS akan pergi solo, itu kita akan tentukan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi GRS. Bila? Nanti,” katanya ringkas.
Beliau turut ditanya sama ada akan menghabiskan tempoh pentadbiran sehingga tamat penggal dalam empat bulan lagi, dan menjelaskan bahawa segala keputusan penting termasuk pembubaran DUN mesti dibuat secara konsensus bersama pimpinan GRS.
“Sebab itu kita berada dalam GRS. Sebarang keputusan besar seperti membubarkan DUN mesti dibincangkan bersama semua rakan parti, presiden-presiden dan kepimpinan tertinggi. Ia mesti dicapai secara muafakat,” tegasnya.
Tambah beliau, walaupun hak membubarkan DUN merupakan keistimewaan Ketua Menteri, prinsip hormat-menghormati dan semangat setiakawan dalam GRS tidak membenarkan sebarang keputusan dibuat secara bersendirian.
“Walaupun itu hak Ketua Menteri, kita tidak boleh tinggalkan rakan-rakan kita. Kita mesti bergerak bersama,” katanya.
Kenyataan Hajiji ini mencerminkan komitmen tinggi beliau terhadap politik muafakat tempatan yang berasaskan kepercayaan dan kebersamaan dalam meneruskan perjuangan GRS demi kestabilan dan kemajuan Sabah.

