TAWAU: Polis menahan sepasang lelaki dan wanita dalam satu serbuan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Kuala Merotai di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, serbuan dilakukan kira-kira jam 2.30 petang itu dilakukan oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) IPD Tawau hasil risikan dan maklumat orang awam.
Katanya, dua individu terbabit berusia 39 tahun dan 29 tahun itu ditahan bersama 42 paket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih disyaki syabu seberat 5.83 gram yang dianggarkan berjumlah RM400 yang disorokkan dalam beg kecil.
“Ujian saringan awal air kencing terhadap kedua-dua suspek mendapati mereka positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine,” katanya.
Menurut beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 39A(1) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
ACP Jasmin turut menyeru orang ramai supaya terus bekerjasama dengan pihak polis dengan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah di kawasan masing-masing.

