Site icon TUHAU BAMBANGAN

PRN Sabah: PBS-STAR Mahu GRS Kekal Dominan, Elak Pertindihan Kerusi

KOTA KINABALU: Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam dan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan sepakat bahawa Gabungan Rakyat Sabah (GRS) perlu kekal dominan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang demi kestabilan dan kekuatan politik tempatan.

Bercakap kepada media selepas selesai Konvensyen Bersama PBS-STAR di Penampang, Joachim menegaskan bahawa bertanding hanya atas nama PBS dan STAR tanpa melibatkan GRS adalah ibarat tindakan “membunuh diri politik”, namun jika GRS bertanding secara solo, ia masih boleh diterima.

“Saya masih dalam GRS. Kalau PBS dan STAR saja pergi solo, itu bunuh diri. Tapi kalau GRS, okay, tapi GRS mesti dominan,” katanya.

Ditanya sama ada beliau bersetuju jika GRS kekal dominan dan mendapat majoriti kerusi berbanding parti lain seperti Pakatan Harapan (PH), Joachim berkata beliau terbuka, tetapi menyarankan agar PH tidak diberikan lebih daripada 15 kerusi.

“Kalau PH kalah, kita beri kerusi kalah kepada mereka, sedangkan mereka tidak guna simbol kita, GRS mesti kekal majoriti,” katanya lagi.

Sementara itu, mengenai pembahagian kerusi, Joachim memaklumkan bahawa PBS telah mengemukakan senarai hasratnya yang melebihi 12 kerusi, namun beliau akui ini bukan masa untuk terlalu memilih kerana fokus utama ialah kemenangan GRS secara keseluruhan.

“Kami masih berbincang. Yang penting, GRS mesti menang,” katanya ringkas.

Dr Jeffrey pula memberitahu bahawa STAR juga telah mengemukakan senarai hasrat sebanyak 16 kerusi, namun menegaskan ia hanya angka awal dan tertakluk kepada perbincangan akhir bersama komponen lain dalam GRS.

“Setiap parti memang mahu lebih banyak kerusi, tapi kita tidak boleh bertindih dengan kerusi yang sudah dipegang parti komponen lain. Kalau kita rebut kerusi sesama sendiri, ia hanya beri peluang kepada pihak lawan,” jelas Jeffrey.

Beliau turut menambah bahawa sebarang pertindihan kecil antara STAR dan PBS sedang diselesaikan secara dalaman dan tidak menjadi isu besar.

“Kita bukan bincang kerusi yang sedia ada. Yang penting tiada pertembungan sesama sendiri. Jangan risau, kami semua ‘gentleman’,” ujar beliau sambil menekankan bahawa fokus utama adalah mencari calon terbaik bagi GRS di setiap kawasan.

Kenyataan kedua-dua pemimpin ini memperlihatkan usaha serius dalam memastikan kestabilan dan kesepakatan dalam GRS menjelang PRN Sabah yang dijangka berlangsung tidak lama lagi.

Exit mobile version