KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menerima suntikan besar dalam usaha memperkukuh pembangunan negeri apabila Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP), Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam, menerima replika cek bernilai RM169 juta daripada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Persekutuan (KPKT), Nga Kor Ming hari ini.
Penyerahan tersebut dilakukan sempena Program Sentuhan Kasih KPKT yang berlangsung di Kota Kinabalu, melambangkan komitmen teguh Kerajaan Persekutuan dalam menyokong agenda pembangunan di Sabah.
Peruntukan itu merupakan sebahagian daripada jumlah keseluruhan RM195.35 juta yang disalurkan kepada Sabah menerusi siri jelajah dua hari KPKT dari 10 hingga 11 Julai, melibatkan sebanyak 48 projek pembangunan.
Projek-projek berkenaan merangkumi, pembinaan dan penambahbaikan perumahan mampu milik, infrastruktur awam dan kemudahan landskap, pengurusan sisa pepejal, dan penyelenggaraan rumah ibadat bukan Islam
Majlis turut dihadiri oleh pelbagai pemimpin masyarakat setempat termasuk Ketua-Ketua Daerah OKK Dominic Ghanie dan OKK Muhasip Haji Roman, Ketua-Ketua Anak Negeri dari DUN Paginatan dan DUN Karanaan, Ketua-Ketua Kampung serta wakil Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) DUN Kundasang.
Hadir sama juga Pengerusi JKKK, Setiausaha Mukim Kundasang, ahli Persatuan Gerai, Persatuan Pengusaha Sayur Tanah Tinggi Kundasang serta beberapa Pengerusi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan.
Penyerahan peruntukan ini diharap dapat mempercepat pelaksanaan projek-projek pembangunan yang memberi impak terus kepada kesejahteraan rakyat, khususnya di kawasan luar bandar dan pinggir bandar di Sabah.

