Site icon TUHAU BAMBANGAN

Aura politik di DUN Lamag ketara memihak kepada parti tempatan – Masiung

SANDAKAN: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kini giat menyusun langkah untuk menawan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag daripada pembangkang dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17) akan datang.

Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Masiung Banah, menegaskan bahawa misi tersebut menjadi keutamaan parti tempatan dalam GRS yang kini menunjukkan aura politik semakin kuat di kawasan Lamag.

“Saya melihat aura politik di Sabah, khususnya di Lamag, begitu ketara memihak kepada parti tempatan,” katanya ketika merasmikan Pejabat Baharu Gagasan Rakyat Bahagian Lamag yang diketuai oleh Ketua Bahagiannya, Abu Bakar Gapar, di Bukit Garam semalam.

Menurut Masiung, semangat dan kesungguhan jentera Gagasan Rakyat di Lamag memberikan keyakinan bahawa GRS mampu menamatkan dominasi UMNO/BN di kerusi tersebut, yang selama ini dianggap sebagai kubu kuat pembangkang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut itu turut memberi jaminan bahawa GRS akan meletakkan calon terbaik untuk memastikan kemenangan di DUN Lamag.

“Saya melihat jentera tiga sayap utama iaitu Pemuda, Wanita dan Beliawanis sudahpun mula digerakkan di seluruh kawasan. Sayap utama GRS juga telah pun diselaraskan mengikut saluran Pusat Daerah Mengundi (PDM) masing-masing,” jelas beliau.

Masiung turut mengingatkan ketiga-tiga sayap agar tidak lalai dalam melaksanakan kewajipan serta kekal patuh kepada arahan pucuk pimpinan dari masa ke masa.

Tambahnya lagi, kekuatan jentera akar umbi harus diperkukuhkan melalui semangat kekeluargaan dan kerjasama erat antara parti-parti komponen GRS, demi menawan hati pengundi dan membawa kemenangan di Lamag.

Exit mobile version