TAWAU: Empat buah rumah jenis tidak kekal musnah sepenuhnya dalam satu insiden kebakaran yang berlaku di Kampung Sri Menanti Blok C, petang tadi.
Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Tawau, pihak mereka menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS999 pada jam 5.15 petang,.
Susulan itu pihaknya menghantar 18 anggota ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 10 kilometer dari balai bomba. Pasukan tiba di lokasi pada 5.26 petang.
Komander Operasi, PBK II (KUP) Jehrey Ibno, memaklumkan bahawa kebakaran melibatkan keseluruhan struktur empat buah rumah yang masing-masing bersaiz, 30’ x 60’ kaki, 30’ x 30’ kaki, 20’ x 30’ kaki, dan 15’ x 20’ kaki
Kesemua rumah dilaporkan terbakar 100 peratus, namun tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu.
Pasukan bomba menggunakan satu aliran sepanjang 200 kaki dengan dua pancutan air, dengan sumber air diperoleh daripada kawasan air terbuka berdekatan untuk memadam kebakaran.
Operasi yang turut dibantu oleh 6 anggota Bomba Komuniti Titingan berjaya dikawal pada jam 5.46 petang dan ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.45 malam.
Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak bomba.

