KOTA KINABALU: Gabungan dua parti tempatan utama Sabah, Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (StarSabah), akan menganjurkan Konvensyen Bersama pada esok (Sabtu, 12 Julai) bertempat di Hongkod Koisaan, Penampang.
Konvensyen bersejarah ini dijadual dirasmikan oleh Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Haji Hajiji Noor, yang turut merupakan Ketua Menteri Sabah. Acara tersebut bakal menjadi platform penting bagi membincangkan isu-isu semasa serta merangka strategi persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan datang.
Lebih 5,000 orang terdiri daripada pemimpin parti, wakil akar umbi dan ahli PBS serta StarSabah dijangka hadir, menandakan komitmen padu kedua-dua parti dalam memperkukuh kerjasama politik di bawah payung GRS.
Ucapan utama akan disampaikan oleh Pemangku Presiden PBS, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam, dan Presiden StarSabah, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan, yang dijangka menggariskan halatuju dan strategi gabungan menjelang pilihan raya.
Konvensyen ini merupakan susulan kepada pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara PBS dan StarSabah yang dimeterai pada 18 April 2024, bertujuan memperkukuh kerjasama politik serta memastikan kejayaan GRS dalam mempertahankan mandat rakyat.
Pimpinan parti-parti komponen dalam GRS turut dijemput bagi menunjukkan solidariti dan kebersamaan dalam usaha memastikan kestabilan politik serta pembangunan berterusan di Sabah.

