TAWAU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Tawau telah berjaya menggagalkan cubaan menyeludup dadah bernilai Rm74,500.00 dan berjaya menahan empat orang suspek terlibat menerusi Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) IPD Tawau baru-baru ini.
Menurut Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin dalam sidang media hari ini berkata, serbuan dilakukan di sebuah bilik stor bengkel di Hill Top, Tawau yang didalamnya terdapat tiga orang lelaki dalam keadaan mencurigakan.
“Pemeriksaan menyeluruh didalam bilik tersebut menjumpai satu kotak yang berisi dua bungkusan plastik yang berisi ketulan-ketulan hablur disyaki dadah jenis syabu anggaran berat keseluruhan 2129.86 gram bernilai Rm74,500.00.
“Hasil siasatan lanjut, pasukan serbuan turut menahan seorang lagi lelaki di perkarangan Lapangan Terbang Tawau disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah.
“Keempat-empat suspek yang ditahan berumur lingkungan 29 tahun hingga 64 tahun merupakan warganegara tempatan dan warganegara asing.
“Semakan rekod jenayah mendapati suspek tangkapan pertama tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau manakala suspek tangkapan kedua mempunyai dua rekod lampau iaitu Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 506/324 Kanun Keseksaan,” katanya.
Saringan awal ujian air kencing memdapati kesemua suspek negatif sebarang jenis dadah.
Kesemua suspek kini ditahan reman selama 7 hari dan kes disiasat dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa kepada hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sekiranya hukuman yang diberikan oleh Mahkamah adalah hukuman penjara seumur hidup, tertuduh hendaklah juga disebat tidak kurang 12 sebatan.
PDRM Tawau kini sedang giat menjalankan usaha mengesan rangkaian pengedaran dadah bagi membantu siasatan.
Selain itu, pihak polis juga ingin menegaskan bahawa mengedar, memiliki atau menyalahgunakan dadah adalah merupakan satu kesalahan dan pihak polis juga mengalu-alukan kerjasama serta maklumat daripada awam untuk bersama-sama membanteras kegiatan ini.

