TAWAU: Seorang lelaki ditahan polis selepas disyaki melakukan amang seksual terhadap seorang remaja perempuan di daerah Tawau.
Mangsa berusia 15 tahun itu dalam perjalanan pulang dari sekolah menuju ke rumahnya telah dihampiri seorang lelaki menggunakan sebuah kenderaan pacuan empat roda.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, suspek yang pada awalnya bertanyakan arah tuju kepada mangsa telah bertindak berkelakuan tidak senonoh sambil menunjukkan kemaluannya.
“Mangsa yang terkejut kemudiannya melarikan diri ke kawasan rumah yang berhampiran. Risau akan keselamatan diri, mangsa kemudiannya tampil di Balai Polis berdekatan untuk membuat laporan polis.
“Sepasukan polis dari Balai Polis Bombalai telah dikerahkan untuk mengesan dan menahan suspek.
“Seorang lelaki berumur 30 tahun berjaya ditahan di sebuah rumah di kawasan Merotai, Tawau. Pemeriksaan tubuh badan tidak menjumpai apa-apa barang salah,” katanya dalam satu kenyataan media di sini semalam.
Suspek bersama barang rampasan iaitu sebuah kenderaan pacuan empat roda dibawa balik ke IPD Tawau untuk tindakan lanjut. Kes akan disiasat dibawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792).

