Site icon TUHAU BAMBANGAN

Anggota APM berpeluang fahami tingkah laku buaya secara langsung dalam latihan menangkap buaya di Kudat

KUDAT: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kudat telah melaksanakan satu sesi latihan khas yang unik dan berisiko tinggi apabila anggota terlibat diberi pendedahan secara langsung untuk menangkap dan mengikat buaya menggunakan buaya sebenar.

Latihan yang berlangsung pada 8 Julai itu diadakan di perkarangan Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Kudat, dikendalikan sendiri oleh Kapten (PA) Abdullah Sabaruddin, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kudat yang berpengalaman luas dalam pengendalian reptilia berbahaya.

Menariknya, latihan ini menggunakan buaya hidup yang ditangkap sehari sebelum itu di Kampung Tungkang, sekaligus memberikan pengalaman praktikal kepada anggota dalam suasana realistik menyerupai insiden sebenar di lapangan.

Menurut pihak penganjur, latihan ini bertujuan untuk meningkatkan tahap kesiapsiagaan, keberanian dan kecekapan anggota dalam menangani situasi melibatkan ancaman buaya, terutama di kawasan berisiko tinggi seperti pesisir pantai dan sungai.

“Latihan ini memberi peluang kepada anggota untuk memahami tingkah laku buaya secara langsung, mempraktikkan teknik mengikat dan mengawal reptilia ini dengan betul serta menekankan aspek keselamatan diri dan rakan setugas,” kata Kapten Abdullah.

Latihan turut memberi penekanan kepada elemen kerjasama dan koordinasi dalam kalangan anggota, yang merupakan kunci kejayaan dalam operasi sebenar menangani ancaman haiwan liar.

Selesai latihan, buaya berkenaan telah diserahkan kepada pihak Taman-Taman Sabah untuk tindakan lanjut, selaras dengan prosedur pengurusan hidupan liar yang sah dan beretika.

Latihan ini mendapat pujian kerana keberaniannya memperkenalkan elemen latihan praktikal yang berimpak tinggi, dan diharap dapat terus memperkasakan pasukan APM dalam menghadapi cabaran pengurusan risiko haiwan liar di Sabah.

Exit mobile version