Site icon TUHAU BAMBANGAN

“Abang Polis, saya nak salam” – momen mahal dua kanak-kanak & anggota polis di Tawau

TAWAU: Satu detik menyentuh hati melibatkan dua anggota polis dan dua orang kanak-kanak mencuri perhatian warga maya apabila rakaman peristiwa tersebut tular di media sosial.

Kejadian yang berlaku pada 3 Julai 2025 sekitar jam 5.00 petang di simpang Stesen Petronas, Jalan Utara, Tawau itu menggambarkan hubungan erat antara pasukan polis dan masyarakat.

Dalam rakaman video berdurasi sembilan saat yang dikongsikan orang awam kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, kelihatan seorang ibu membawa dua anaknya menghampiri dua anggota polis yang sedang menjalankan tugasan point duty.

“Apa yang mengejutkan ialah niat tulus kanak-kanak itu, sekadar ingin bersalaman dengan ‘abang polis’.

“Tanpa ragu atau kekok, kedua-dua anggota polis tersebut menyambut salam yang dihulur dengan mesra, sambil menyapa anak-anak kecil itu di hadapan ibu mereka. Tindakan spontan ini bukan sahaja menggambarkan keprihatinan anggota PDRM di lapangan, malah mencerminkan nilai kemanusiaan dan profesionalisme yang menjadi tonggak utama institusi polis.

IPD Tawau dalam kenyataan rasmi menyatakan penghargaan kepada orang awam yang berkongsi rakaman tersebut, dan menghormati permintaan individu terbabit untuk tidak mendedahkan identiti peribadinya.

“Momen sebegini mengingatkan kita bahawa tugas PDRM bukan sekadar menjaga keselamatan dan penguatkuasaan undang-undang, tetapi juga membina kepercayaan serta hubungan mesra dengan masyarakat, khususnya generasi muda,” kata jurucakap IPD Tawau.

Peristiwa ini menjadi bukti bahawa kehadiran anggota polis di lapangan bukan sekadar simbol kuasa, tetapi juga sebagai teladan dan inspirasi kepada anak-anak kecil yang mungkin suatu hari nanti ingin menyarung seragam yang sama.

Exit mobile version