Site icon TUHAU BAMBANGAN

Juruukur bahan PBT ditahan, terima suapan lebih RM200 ribu dari kontraktor & pembekal

KOTA KINABALU: Seorang juruukur bahan di salah sebuah pihak berkuasa tempatan (PBT) di Sabah telah direman selama empat hari oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki menerima suapan melebihi RM200,000 daripada beberapa kontraktor dan syarikat pembekal.

Perintah reman sehingga 13 Julai itu dikeluarkan oleh Majistret Wan Farrah Farizza Wan Ghazali di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu pagi ini, selepas permohonan dibuat oleh SPRM bagi membantu siasatan lanjut.

Menurut sumber SPRM, suspek lelaki berusia lingkungan 30-an itu ditahan kira-kira jam 7 petang semalam di pejabat SPRM Sabah ketika hadir memberikan keterangan secara sukarela.

“Hasil siasatan awal mendapati suspek disyaki menerima sejumlah lebih RM200,000 dalam bentuk wang tunai melalui pelbagai transaksi daripada beberapa kontraktor dan syarikat pembekal antara tahun 2021 hingga 2024,” katanya.

Suapan tersebut dipercayai sebagai balasan membantu kontraktor dan pembekal memperoleh projek yang ditawarkan oleh PBT berkenaan. Antara projek yang terlibat termasuk pembinaan rumah mesra Sabah, program pembasmian kemiskinan, kerja-kerja pembersihan pusat pembuangan sampah, dan pembekalan alat ganti kenderaan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan memaklumkan bahawa kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

“SPRM memandang serius sebarang bentuk salah guna kuasa dan rasuah di agensi kerajaan dan tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi,” katanya.

Kes masih dalam siasatan dan beberapa lagi individu dijangka dipanggil bagi membantu siasatan kes ini.

Exit mobile version