KENINGAU: Seorang wanita berusia 40 tahun maut di tempat kejadian selepas dilanggar sebuah kenderaan pacuan empat roda ketika melintas jalan di hadapan sebuah bank di Jalan Masak, Keningau, pada malam semalam.
Ketua Polis Daerah Keningau, Supritendan Yampil Anak Garai berkata, mangsa dikenali sebagai Suzila Adip, berasal dari Kampung Samalang dan bekerja di sebuah premis makanan dikenali sebagai Casher Café.
Menurut beliau, pihak polis menerima panggilan kecemasan daripada orang awam sekitar jam 7.40 malam yang memaklumkan tentang insiden melibatkan dua kenderaan dan seorang pejalan kaki.
“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika kenderaan jenis Toyota Hilux Single Cab dalam perjalanan dari arah pusat bandar Keningau menghala ke Jalan Masak. Ketika itu, mangsa dipercayai sedang melintas jalan dari kiri ke kanan,” katanya.
Tambah beliau, keadaan jalan yang gelap dan tiada lampu jalan dipercayai menjadi faktor penyumbang kepada nahas tersebut.
Kesan daripada pelanggaran tersebut, mangsa tercampak ke arah laluan bertentangan dan mengenai sebuah kereta Proton Saga yang turut berada di lokasi kejadian.
Mangsa disahkan maut di lokasi akibat kecederaan parah, manakala pemandu kedua-dua kenderaan tidak mengalami sebarang kecederaan serius.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, dan pihak polis menyeru orang awam agar lebih berhati-hati ketika melintas jalan, terutama di kawasan gelap atau kurang pencahayaan.
Jenazah mangsa telah dibawa ke Hospital Keningau untuk proses bedah siasat.

