KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah mengesahkan dua projek jajaran jalan baharu ke Kalimantan, Indonesia sedang dirancang dan dilaksanakan secara berperingkat, selaras dengan perkembangan pemindahan ibu negara Indonesia ke Nusantara.
Menjawab pertanyaan ADUN Sindumin, Datuk Dr. Yusof Yacob semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah semalam, Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Ir Shahelmey Yahya memaklumkan bahawa dua laluan strategik sedang dirancang bagi menghubungkan Sabah secara terus dengan wilayah Kalimantan.
Projek utama yang sedang dirancang ialah Pembinaan Jalan Baharu dari Kalabakan ke Sempadan Malaysia–Indonesia (Simanggaris), yang akan menghubungkan Jalan Sapulut–Kalabakan ke sempadan sepanjang 28 kilometer.
Selain itu, satu laluan tambahan (spur road) sepanjang 20 kilometer juga akan dibina bagi menghubungkan Kampung Serudong Laut ke laluan utama tersebut.
Menurut beliau, projek ini telah menerima kelulusan untuk Kajian Awalan dan Rekabentuk di bawah Rolling Plan 3, Rancangan Malaysia Ke-12 (RP3 RMKe-12) melalui Kementerian Kerja Raya Malaysia.
“Kerja-kerja di lapangan sedang giat dijalankan termasuk ukur tanah, pemetaan utiliti dan penyiasatan geoteknikal bagi melengkapkan data untuk kajian dan rekabentuk projek ini,” jelasnya.
Selain itu, satu lagi projek strategik sedang dirancang iaitu Pembinaan Jalan dari Pekan Pagalungan ke Pekan Sempadan Bantul, Daerah Pensiangan.
Laluan ini juga telah diluluskan dalam RP3 RMKe-12 dan dibiayai di bawah Program Jalan Luar Bandar (JALB) oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW). Ketika ini, projek tersebut sedang dalam proses perolehan.
Kedua-dua jajaran ini dilihat sebagai sebahagian daripada persiapan Sabah menghadapi gelombang pembangunan baharu di Kalimantan berikutan pemindahan pusat pentadbiran Indonesia ke Nusantara, sekali gus membuka potensi kerjasama ekonomi dan logistik merentas sempadan yang lebih kukuh.

