KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor memberi bayangan bahawa Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah bakal diadakan tidak lama lagi, namun menegaskan bahawa tarikh rasmi hanya akan diumumkan setelah dimuktamadkan.
Hajiji ketika ditanya media sama ada ini merupakan sidang terakhir Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum PRN, Hajiji hanya tersenyum dan berkata, “Kira-kira begitulah tu.”
Beliau bagaimanapun enggan memberikan petunjuk jelas mengenai tarikh PRN.
“Itu tidak buli saya bagi sekarang. Tunggu bila kita sudah tetapkan, nanti kita umumkan kepada semua media. Sabar… tidak lama lagi. Terpulang kepada Ketua Menteri nanti pilih, saya mimpi dulu bila tarikh yang paling baik,” selorohnya kepada media selepas selesai Persidangan DUN di sini, hari ini.
Menurutnya lagi, perbincangan sedang dijalankan bersama beberapa pihak berkepentingan sebelum keputusan muktamad dibuat.
Beliau turut menegaskan bahawa asas kerajaan yang ada kini kekal antara GRS dan Pakatan Harapan (PH), manakala soal kerjasama politik akan diputuskan kemudian.
“Yang jelas sekarang, kerajaan GRS-PH, itu asas kita. Yang lain nanti kita tengok macam mana,” ujarnya ringkas.
Dalam pada itu, Hajiji turut mengesahkan bahawa semua Rang Undang-Undang (RUU) yang dibentangkan, termasuk yang berkaitan karbon, hutan, tanah, dan tambahan bajet untuk pembangunan negeri, telah diluluskan.
“Semua RUU telahpun diluluskan. Apa yang kita lakukan ini adalah untuk kebaikan negeri, termasuk kelulusan tambahan peruntukan kerajaan untuk pengurusan dan pembangunan sehingga akhir tahun,” katanya.
Mengulas mengenai perjalanan persidangan DUN kali ini, beliau menyifatkannya sebagai berjaya, dengan kerajaan dapat membentangkan pencapaian dan inisiatif yang telah dilaksanakan sepanjang hampir lima tahun pentadbiran Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
“Kerajaan telah lakukan yang terbaik untuk rakyat. Memang masih banyak perlu dilakukan, namun inisiatif yang kita laksanakan hari ini belum pernah dilakukan oleh kerajaan sebelum ini, dari modal insan, kebajikan rakyat, bantuan kepada pelajar, orang miskin dan mereka yang tiada rumah,” jelas beliau.
Mengakui bahawa isu-isu warisan seperti masalah bekalan air masih membelenggu, Hajiji menjelaskan bahawa kerajaan sedang giat menaik taraf loji-loji air di seluruh Sabah, selain terus menambah baik infrastruktur jalan raya.

