KOTA KINABALU: Sebanyak 366 inisiatif di bawah Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 1.0 telah mencapai pencapaian 100 peratus, kata Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.
Beliau berkata, berdasarkan laporan sehingga Mei 2025, purata pencapaian keseluruhan pelaksanaan SMJ 1.0 kini mencecah 94 peratus, melibatkan 467 inisiatif pembangunan negeri yang digariskan sejak pelan itu dilancarkan pada tahun 2021.
“Hala Tuju SMJ 1.0 telah berjalan dengan jayanya. Ini membuktikan komitmen Kerajaan Negeri dalam melaksanakan agenda pembangunan yang inklusif dan berimpak tinggi,” katanya menjawab soalan, Datuk Abdul Ghani Mohd Yassin (Nabawan).
Dalam konteks pertumbuhan ekonomi, Nizam menjelaskan bahawa ekonomi Sabah terus menunjukkan peningkatan dari tahun ke tahun:
- Tahun 2020: RM77.8 bilion
- Tahun 2021: RM78.7 bilion
- Tahun 2022: RM82.1 bilion
- Tahun 2023: RM83.2 bilion
- Tahun 2024: RM84.3 bilion
Lebih membanggakan, katanya, jumlah perdagangan negeri Sabah telah melepasi paras RM100 bilion sejak 2022, dengan rekod tertinggi dicatatkan pada tahun 2022 iaitu RM118 bilion, meningkat ketara berbanding RM87.2 bilion pada 2021.
“Ketua Perangkawan Malaysia, Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin turut mengesahkan bahawa perdagangan Sabah kekal kukuh dengan mencatat dagangan RM107.8 bilion pada tahun 2024 tiga tahun berturut-turut melepasi angka RM100 bilion,” tambah Nizam.
Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya 1.0 memberi fokus kepada tiga teras utama: pertumbuhan ekonomi, modal insan dan kelestarian rakyat, sebagai asas pembangunan negeri yang mampan dan seimbang.

