KOTA KINABALU: Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) DUN Sukau, Juslee Arpaih, menafikan dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag, Datuk Seri Bung Moktar Radin, bahawa projek Rumah Mesra SMJ (Rumah SMJ) di kawasan Sukau hanya diagihkan kepada penyokong kerajaan.
Menurut Juslee, kenyataan yang dibuat Bung dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah semalam adalah tidak berasas dan mengelirukan, malah bertentangan dengan fakta di lapangan.
“Daripada 40 penerima rumah SMJ di Sukau, 15 orang adalah penyokong tegar Barisan Nasional (BN). Ini jelas membuktikan bahawa agihan rumah ini tidak berpaksikan politik kepartian seperti yang didakwa,” katanya dalam satu kenyataan media di Facebook, semalam.
Beliau turut menyangkal dakwaan Bung bahawa sebanyak 23 unit rumah SMJ di kawasan itu terbengkalai. Jelasnya, hasil lawatan tapak pada Jun lalu menunjukkan bahawa, 36 unit rumah telah siap 100 peratus, 2 unit sedang dalam proses disiapkan dan 2 unit ditangguhkan atas masalah tapak yang dirujuk kepada Pejabat Daerah.
Juslee menyifatkan kenyataan Bung Moktar sebagai cubaan untuk mempolitikkan inisiatif kerajaan negeri demi kepentingan tertentu, sedangkan program Rumah SMJ bertujuan membantu golongan kurang berkemampuan tanpa mengira latar belakang politik.
“Saya menggesa agar wakil rakyat tidak mengelirukan rakyat dengan dakwaan tidak berasas. Fakta dan data lengkap boleh dirujuk melalui Pejabat Daerah atau agensi pelaksana,” katanya lagi.
Program Rumah SMJ adalah antara agenda utama Kerajaan Negeri Sabah di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, bagi menyediakan perumahan mampu milik kepada rakyat berpendapatan rendah di seluruh negeri.

