Site icon TUHAU BAMBANGAN

Guru wanita maut, dibunuh kejam abang kandung alami sakit mental di Tuaran

TUARAN: Seorang guru wanita berusia 41 tahun maut dalam kejadian tragis apabila dipercayai dibunuh dengan kejam oleh abang kandungnya sendiri dalam insiden yang berlaku di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Tenghilan, Tamparuli semalam.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Superintendan Noraidin Ag. Maidin berkata, mangsa ditemui meninggal dunia di lokasi kejadian dengan kecederaan parah di bahagian leher, kepala serta kedua-dua mata yang disyaki akibat tikaman menggunakan senjata tajam.

“Suspek yang merupakan abang kandung mangsa berusia 47 tahun telah ditahan oleh sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah IPD Tuaran tidak lama selepas kejadian berdasarkan maklumat awam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Noraidin, siasatan awal mendapati suspek dipercayai mengalami masalah mental dan pernah menerima rawatan susulan di fasiliti kesihatan.

Motif pembunuhan masih dalam siasatan, manakala bedah siasat ke atas mayat mangsa telah dijalankan di Unit Forensik, Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu.

Kes tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, yang jika sabit kesalahan memperuntukkan hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun dan sebatan.

Polis turut menasihati orang ramai agar tidak membuat spekulasi berhubung kes tersebut serta meminta sesiapa yang mempunyai maklumat tampil menghubungi Hotline Polis Tuaran di talian 088-794313 atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Exit mobile version