Site icon TUHAU BAMBANGAN

Lelaki mengamuk & ancam bapa kandung guna parang ditahan polis di Tawau

TAWAU: Seorang lelaki ditahan polis selepas dipercayai mengamuk dan mengugut untuk mencederakan bapa kandungnya menggunakan sebilah parang dalam satu kejadian di daerah ini baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Tawau memaklumkan, insiden bermula apabila suspek mengamuk di rumah keluarganya dan bertindak agresif terhadap bapanya sambil memegang parang sepanjang 65.8 sentimeter.

Keadaan bagaimanapun berjaya dikawal buat sementara waktu selepas abangnya campur tangan.

Namun begitu, suspek kembali bertindak ganas dengan merosakkan harta benda milik abangnya, menyebabkan mangsa bertindak membuat laporan polis demi keselamatan ahli keluarga.

Bertindak atas laporan, sepasukan anggota dari Balai Polis Sri Indah telah digerakkan dan berjaya memberkas suspek di rumah tidak bernombor di kawasan kejadian.

Suspek kini telah ditahan dan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut.

Polis juga mengesahkan bahawa suspek kini sedang direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

Pihak polis menegaskan bahawa sebarang tindakan mengancam keselamatan ahli keluarga sendiri adalah perbuatan jenayah yang serius dan akan diambil tindakan sewajarnya.

Exit mobile version