KOTA KINABALU: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dijangka terbubar secara automatik pada 11 November 2025 sekiranya tiada pembubaran lebih awal dilakukan, demikian disahkan oleh Speaker DUN Sabah, Datuk Seri Kadzim M. Yahya.
Memetik Bernama, Kadzim memaklumkan, pembubaran automatik itu adalah mengikut Perkara 21(4) Perlembagaan Negeri Sabah yang menetapkan tempoh penggal DUN selama lima tahun bermula dari tarikh persidangan pertama selepas pilihan raya negeri pada 2020.
“Jika tiada pembubaran diumumkan oleh Yang di-Pertua Negeri sebelum tarikh tersebut, maka DUN Sabah akan terbubar secara sendiri pada 11 November 2025. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mempunyai masa 60 hari untuk mengadakan pilihan raya negeri selepas tarikh itu,” katanya.
Kadzim turut menegaskan bahawa pengiraan tempoh penggal DUN adalah berdasarkan tarikh sidang sulung DUN, bukan tarikh pilihan raya atau angkat sumpah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Sidang DUN yang dijadual berlangsung minggu hadapan dijangka menjadi tumpuan umum kerana ia dilihat sebagai sidang terakhir sebelum kemungkinan pembubaran berlaku, sama ada secara automatik atau melalui nasihat Ketua Menteri kepada Yang di-Pertua Negeri.
Sidang dua hari itu akan membahaskan beberapa rang undang-undang penting termasuk, Rang Undang-Undang Cukai Jualan Negeri (Pindaan) 2025; Rang Undang-Undang Hutan (Pindaan) 2025; Rang Undang-Undang baharu berkaitan Perubahan Iklim; dan Tadbir Urus Karbon Sabah Perbekalan tambahan bagi urusan perbelanjaan negeri.
Sementara itu, ketika ditanya sama ada persiapan khas dilakukan untuk sidang tersebut, Kadzim menjelaskan tiada yang luar biasa, selain prosedur biasa seperti soalan dan penyusunan takwim.
Namun, minat rakyat yang meningkat terhadap kemungkinan pembubaran menjadikan sidang kali ini tumpuan utama dalam kalendar politik Sabah.
Dalam pada itu, beliau juga menjelaskan bahawa kawalan keselamatan di kawasan DUN masih ketat berikutan pewartaan premis tersebut sebagai kawasan larangan sejak 2024, namun kehadiran awam masih dibenarkan tertakluk kepada prosedur keselamatan.
Dengan tarikh 11 November semakin hampir, fokus kini beralih kepada keputusan politik kerajaan negeri, sama ada akan memilih untuk membubarkan DUN lebih awal atau membiarkannya tamat tempoh secara automatik.
Jika terbubar, Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 dijangka berlangsung sebelum akhir tahun.

