SEMPORNA: Cubaan menyeludup kira-kira 7,000 liter minyak diesel ke negara jiran berjaya digagalkan oleh Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah dalam satu operasi yang dijalankan awal pagi tadi di perairan Semporna.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.15 pagi, anggota Botronda PPM mengesan pergerakan mencurigakan sebuah kapal nelayan yang dipercayai digunakan bagi tujuan penyeludupan bahan api.
Pemeriksaan ke atas kapal tersebut membawa kepada penemuan lapan tangki fiber yang berisi minyak diesel dipercayai untuk diseludup keluar dari negara ini.
Jumlah keseluruhan diesel dianggarkan sebanyak 7,000 liter, dengan nilai rampasan melebihi RM367,000.00.
Juragan kapal berusia 54 tahun, yang merupakan warga tempatan turut ditahan kerana disyaki menjadi dalang kegiatan penyeludupan berkenaan.
Menurut kenyataan PPM Wilayah 4 Sabah, taktik menggunakan kapal nelayan bertujuan mengaburi pihak berkuasa, namun tindakan pantas anggota rondaan berjaya menggagalkan cubaan tersebut.
Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, yang memperuntukkan hukuman berat terhadap sebarang bentuk penyelewengan dan penyeludupan barang kawalan seperti bahan api.
PPM Wilayah 4 dalam kenyataannya menegaskan komitmen untuk terus memperhebatkan operasi dan risikan bagi membanteras aktiviti penyeludupan yang merugikan negara.
“Kami menyeru orang ramai agar bekerjasama dengan pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan di kawasan perairan,” kata jurucakap pasukan.

