Site icon TUHAU BAMBANGAN

Akta CCUS 2025, buktikan kepentinagan teras kerajaan negeri diterajui parti lokal – Armizan

TENOM: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali menegaskan bahawa model politik berteras parti lokal di peringkat Kerajaan Negeri Sabah penting bagi memastikan kepentingan negeri terus menjadi agenda utama dalam struktur pentadbiran negara.

Berucap ketika merasmikan Persidangan Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) DUN Melalap petang tadi, beliau berkata, kejayaan Sabah dan Sarawak menghalang pemakaian Akta Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS) 2025 ke atas kedua-dua negeri ini membuktikan keberkesanan pendekatan inter-governmental berbanding hubungan intra-party antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.

“Pada awalnya, akta ini dicadang untuk seluruh Malaysia, namun selepas mendengar pandangan kerajaan Sabah di bawah pimpinan GRS dan kerajaan Sarawak di bawah GPS, Kabinet Persekutuan akhirnya bersetuju mengecualikan Sabah dan Sarawak.

“Ini tidak akan berlaku jika kedua-dua kerajaan diketuai oleh parti nasional yang sama dan rundingan hanya berlaku dalam parti, bukan antara kerajaan,” katanya.

Armizan yang juga Timbalan Setiausaha Agung GRS berkata, berbeza dengan Akta Laut Wilayah 2012 (TSA 2012) yang menyempitkan kuasa negeri kepada tiga batu nautika sahaja, Akta CCUS 2025 menunjukkan bagaimana suara negeri lebih didengar apabila kerajaan negeri diterajui parti lokal, bukannya menjadi subordinat kepada parti nasional.

Beliau turut menempelak segelintir pemimpin yang kini lantang mengkritik TSA 2012, tetapi pernah menjadi sebahagian daripada kerajaan persekutuan ketika undang-undang tersebut dibentang dan diluluskan tanpa sebarang bantahan dari mereka.

“Ini adalah rekod yang tidak boleh dipadamkan. Kenapa mereka diam pada 2012 ketika memegang jawatan penting dalam kerajaan pusat dan hanya bersuara hari ini? Ini hanya permainan politik yang tidak ikhlas,” katanya.

Jelasnya lagi, dominasi parti nasional di kedua-dua peringkat kerajaan ketika itu menghalang pemimpin dari Sabah untuk membawa suara negeri kerana terikat dengan keputusan pusat.

Armizan menegaskan bahawa walaupun parti lokal tidak menolak kerjasama dengan parti nasional, namun asas kerajaan negeri mestilah ditunjangi oleh parti lokal agar segala kepentingan Sabah sentiasa dibawa ke meja rundingan rasmi antara kerajaan, bukan sekadar keputusan dalam mesyuarat parti.

“Kita jaga Sabah dengan meletakkan Sabah di tangan pemimpin Sabah sendiri. Parti lokal bukan sahaja suara rakyat, ia benteng terakhir mempertahankan hak negeri,” katanya lagi.

Exit mobile version