Site icon TUHAU BAMBANGAN

Bukan kita larang orang masuk, tapi tidak mahu orang berpusu-pusu di kawasan DUN – Speaker

KOTA KINABALU: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Seri Kadzim M. Yahya menegaskan, bahawa DUN Sabah tidak pernah menghalang kehadiran orang awam untuk mengikuti sidang dewan, namun memaklumkan terdapat had-had keselamatan yang perlu dipatuhi selaras dengan pewartaan kawasan itu sebagai kawasan larangan.

Beliau menjelaskan bahawa persepsi sesetengah pihak yang mendakwa sukar untuk memasuki premis DUN adalah kurang tepat, memandangkan setiap kehadiran perlu dikawal bagi memastikan kelancaran perjalanan persidangan.

“Bukan kita larang, bukan kita halang orang datang. Tapi kita tidak mahu kawasan DUN ini jadi macam acara di SICC dengan orang berpusu-pusu,” katanya dalam satu sesi temu bual khas menjelang Mesyuarat Kedua Penggal Kelima DUN Sabah, yang akan bermula Isnin depan.

Menurut beliau, sejak 2 September 2024, DUN Sabah telah diwartakan sebagai kawasan larangan dan tempat larangan, justeru kehadiran orang ramai perlu tertakluk kepada peraturan keselamatan.

Tambah beliau, wakil rakyat masih boleh membawa masuk rakyat dari kawasan masing-masing untuk mengikuti sidang, terutama jika mereka ingin melihat perbahasan yang melibatkan wakil mereka.

“Kita benarkan kalau rakyat mahu masuk mengikuti ucapan wakil mereka, tapi bukanlah setiap hari atau sepanjang masa. Ini dewan undangan, bukan tempat pesta atau hiburan,” tegas Kadzim.

Kadzim turut menjelaskan bahawa kawalan ketat yang dilaksanakan adalah perkara biasa, sama seperti di Parlimen atau Mahkamah, dan ia tidak seharusnya dijadikan isu.

“Di Parlimen pun bukan senang masuk. Dalam dewan, bukan semua orang boleh bebas masuk keluar. Kalau tidak ikut tertib, ia boleh ganggu kelancaran persidangan. Sama macam di mahkamah – kenapa tiada siapa bising tak boleh masuk atau tepuk tangan?” katanya berseloroh.

Mesyuarat Kedua Penggal Kelima DUN Sabah Yang Keenam Belas dijadual berlangsung pada 7 dan 8 Julai 2025.

Exit mobile version