TAWAU: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah berjaya menumpaskan satu sindiket penyeludupan rokok tidak bercukai dalam satu serbuan khas di Kampung Sri Aman Batu 3, Tawau malam semalam, membabitkan rampasan bernilai lebih RM300,000.
Operasi yang dijalankan oleh Unit Gempur Marin (UNGERIN) sekitar jam 10 malam itu turut membawa kepada penahanan seorang lelaki warga asing yang dipercayai menjadi ejen penghantar kepada sindiket tersebut.
Menurut Komander PPM Wilayah 4 Sabah, ACP Mohd Nazri Ibrahim, hasil serbuan berjaya menemui sebanyak 1,540 pek rokok pelbagai jenama yang disyaki diseludup masuk dari negara jiran.
“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan mencecah RM367,200, dipercayai untuk pasaran haram dalam negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana memiliki barang larangan tanpa kelulusan, selain siasatan turut dijalankan di bawah Akta Imigresen 1963 terhadap suspek berhubung status kewarganegaraannya.
ACP Mohd Nazri berkata, kejayaan itu adalah hasil risikan berterusan dan tindakan proaktif PPM dalam membanteras aktiviti penyeludupan yang semakin giat menjadikan kawasan pesisir sebagai laluan masuk.
“PPM Wilayah 4 Sabah akan terus memperhebatkan operasi dari semasa ke semasa, khususnya di kawasan panas yang sering menjadi sasaran sindiket,” katanya.
Beliau turut menyeru orang ramai agar menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kegiatan penyeludupan kepada pihak berkuasa bagi membantu usaha mencegah ancaman ekonomi negara dan keselamatan masyarakat.

