LAHAD DATU: Tindakan dua beranak warga Indonesia yang mendakwa sedang dalam misi berjalan kaki dari Indonesia ke Makkah melalui Sabah telah menimbulkan keresahan awam dan mencetuskan persoalan terhadap niat sebenar mereka.
Kedua-dua individu tersebut yang mula dikesan di Tawau dan kemudiannya tiba di Lahad Datu malam kelmarin, telah ditahan oleh pihak polis sebelum diserahkan kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah (JHEAINS) untuk disoal siasat berikutan aduan serta video tular yang memperlihatkan mereka bermalam di masjid.
Pegawai Tadbir Agama JHEAINS Lahad Datu, Ustaz Mardi Arifin berkata, siasatan mendapati kedua-dua mereka memiliki dokumen perjalanan sah dan beralamat di Bulukumba, Indonesia, serta mendakwa sedang berjalan kaki ke Makkah untuk menunaikan umrah.
“Perjalanan mereka amat mencurigakan memandangkan laluan yang dipilih tidak logik, ditambah dengan kenyataan mereka yang meraih sumbangan melalui media sosial seperti TikTok dan YouTube,” katanya.
JHEAINS bimbang tindakan tersebut boleh mengundang fitnah kepada Islam, terutama apabila melibatkan permintaan sumbangan awam tanpa kejelasan tentang penggunaan sebenar wang tersebut.
Susulan pertemuan bersama pihak berkuasa, kedua-dua individu berkenaan bersetuju untuk tidak meneruskan perjalanan mereka dan dihantar ke terminal bas untuk kembali ke Tawau sebelum dijangka pulang ke Indonesia.
Ustaz Mardi turut menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpengaruh atau memberikan sedekah, sama ada secara langsung mahupun dalam bentuk digital seperti “gift” di TikTok, yang boleh dimanipulasi oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“Kami bimbang trend seperti ini boleh menjadi ikutan yang membahayakan, mencemarkan imej Islam dan digunakan untuk meraih simpati dengan cara yang mengelirukan,” ujarnya.
Pihak berkuasa akan terus memantau sebarang aktiviti yang mencurigakan, khususnya melibatkan isu-isu keagamaan dan keselamatan awam di negeri ini.

